Pertimbang semula rancangan tutup pejabat UNHCR, kerajaan diberitahu

Pertimbang semula rancangan tutup pejabat UNHCR, kerajaan diberitahu

Ketua Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata Putrajaya sepatutnya mewujudkan satu rangka kerja undang-undang untuk hak pelarian.

Rancangan kerajaan untuk menutup pejabat UNHCR adalah selaras hasrat mengambil alih pengurusan pelarian di Malaysia.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menggesa kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan berkata, Putrajaya sepatutnya memberi perhatian kepada mewujudkan satu rangka kerja undang-undang untuk hak pelarian.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abd Latiff Ahmad memberitahu, kerajaan merancang untuk menutup pejabat UNHCR selaras rancangan untuk mengambil alih pengurusan pelarian di Malaysia.

Ketua Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, berkata UNHCR memainkan peranan penting dalam melindungi pelarian dan pencari suaka politik di negara ini kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 dan Protokol 1967.

“UNHCR menyediakan perlindungan meluas seperti penentuan status pelarian dan penempatan semula. Ia juga bekerjasama dengan pelbagai NGO untuk menyediakan bantuan seperti kesihatan, pendidikan dan kewangan, perlindungan, kaunseling dan keperluan lain,” katanya.

Melihat kepada pengalaman UNHCR dalam peranan mengendalikan pelarian dan pengurusan pencari suaka politik, IDEAS melahirkan kebimbangan mengenai kesediaan kerajaan untuk mengambil alih peranan agensi itu terutama tanpa satu rangka kerja undang-undang.

“Untuk kerajaan menunjukkan komitmen dan kesiapsiagaan menerima pelarian dan pengurusan pencari suaka politik, Malaysia mesti terlebih dahulu mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951.

“Atau mewujudkan satu dasar domestik alternatif dan rangka kerja undang-undang bagi memastikan Malaysia mematuhi standard antarabangsa,” katanya.

Tanpa rangka kerja seperti itu, Yeoh berkata, pelarian akan terus dipinggirkan daripada peluang ekonomi dan juga hak asasi mereka terhadap pendidikan serta kesihatan.

IDEAS turut menggesa lebih ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rancangan peralihan kerajaan sekiranya penglibatannya diperluaskan.

Badan itu juga menggesa perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk komuniti pelarian dan pertubuhan masyarakat sivil berhubung rancangan peralihan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.