Pemaju ambil alih selamatkan projek perumahan terbengkalai

Pemaju ambil alih selamatkan projek perumahan terbengkalai

Muhibah Sekitar Sdn Bhd mendapati lebih 500 bakal pembeli telah membayar deposit berjumlah RM2.4 juta kepada pemaju terdahulu.

Gambaran artis menunjukkan projek kondominium yang bakal dihidupkan semula oleh Muhibah Sekitar.
PETALING JAYA:
Muhibah Sekitar Sdn Bhd telah mengambil alih pembangunan projek kondominium yang terbengkalai pada 2018, bagi membantu pembeli yang teraniaya akibat diabaikan pemaju asal setelah deposit dibayar.

Syarikat itu, yang juga pemilik baharu tanah berkenaan, diberi lampu hijau untuk membangunkan lokasi seluas 1.7 hektar di Taman Tun Dr Ismail.

Pengarah Muhibah Sekitar Helmi Harunarashid memberitahu FMT, selepas memperoleh tanah berkenaan, firma itu mendapati kira-kira 584 bakal pembeli telah membayar deposit untuk unit pilihan masing-masing berjumlah RM2.4 juta kepada pemaju terdahulu.

Muhibah Sekitar kemudian menghubungi pembeli terlibat untuk memaklumkan bahawa projek berkenaan akan dihidupkan semula.

“Kira-kira 150 masih berminat, manakala 150 lagi cenderung menunggu kelulusan muktamad,” katanya.

“Kami faham dan bersimpati dengan keadaan mereka, dan sebagai tanda keikhlasan, kami bersedia mengiktiraf deposit yang telah dibayar jika mereka memutuskan untuk tetap membeli unit dipilih, sekalipun ini bererti kami tidak akan menerima deposit sebanyak RM2.4 juta itu.”

Pengarah Muhibah Sekitar Helmi Harunarashid berkata, syarikat itu bersimpati dengan nasib pembeli yang telah membayar deposit kepada pemaju sebelumnya.

Katanya, satu pasukan kontraktor, perunding dan peguam panel telah dibentuk untuk memulakan kerja pembangunan, malah Muhibah Sekitar akan mengadakan mesyuarat komuniti bagi memberi taklimat kepada penduduk setempat mengenai projek berkenaan.

Helmi mendedahkan bahawa kelulusan pembangunan tidak pernah dikeluarkan sebelum ini kerana pemaju terdahulu tidak membuat bayaran kepada pihak berkaitan.

“Akibatnya, Muhibah membayar RM1.1 juta tambahan sebagai penalti selain yuran bagi perintah pembangunan dikeluarkan kepada kami,” katanya.

Pembinaan kondominium yang terletak di Jalan Sungai Penchala itu masih belum bermula, dan akan melibatkan tiga blok dengan keseluruhannya 1,075 unit.

Menjelang projek itu dimulakan semula, Helmi memberikan jaminan kepada penduduk setempat bahawa Muhibah Sekitar mempunyai perancangan untuk memastikan kesan minimum di kawasan sekitar akibat pembinaan itu.

Syarikat itu dan kontraktor dilantiknya, Ever Land and Development Sdn Bhd, akan menggunakan kaedah moden bagi mengelak lumpur, habuk dan debu berserakan ke kawasan sekitar.

“Kami merancang dan mereka projek ini dengan mengambil kira masyarakat tempatan. Kami amat menyedari wujudnya kejiranan di sekitar, dan kami membina unit kediaman mampu milik bagi mereka yang memerlukan lebih banyak ruang,” kata Helmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.