Lokman diperintah fail pembelaan hari ini berhubung saman Ismail

Lokman diperintah fail pembelaan hari ini berhubung saman Ismail

Pada 12 Sept, Ismail Sabri Yaakob memperoleh perintah injunksi ex parte supaya Lokman memadamkan video yang menyinggung itu dari akaun media sosialnya.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam sebelum ini diberi tempoh sehingga hari ini untuk memfailkan pembelaannya terhadap saman Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengingatkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam memfailkan pembelaan hari ini sebagai menjawab saman fitnah yang difailkan Ismail Sabri Yaakob.

Menurut kaedah-kaedah mahkamah, Lokman diberi masa sehingga hari ini untuk memfailkan pembelaannya.

Peguam Joshua Tan yang mewakili perdana menteri sementara atau ‘caretaker’, berkata Ismail diberi masa sehingga 25 Okt untuk menjawab pembelaan Lokman.

“Mahkamah telah menetapkan pengurusan kes pada 25 Nov,” kata Penolong Kanan Pendaftar Haleez Hasnan selepas prosiding dalam talian.

Pada 12 Sept, Ismail memperoleh perintah injunksi ex parte supaya Lokman memadamkan video yang menyinggung itu dari akaun media sosialnya.

Permohonan injunksi “inter-parte” (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov.

Ismail telah memfailkan saman terhadap Lokman pada 8 Sept berhubung video bertajuk ““Bila Presiden Umno panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail berkata Lokman memuat naik video itu di akaun TikTok, Instagram, YouTube dan Facebook miliknya pada 22 Ogos, yang didakwanya sebagai fitnah, tidak benar dan berniat jahat.

Lokman, antara lain, mendakwa Ismail telah bertemu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain yang menentang Umno untuk kekal sebagai perdana menteri dan mengenepikan kepentingan partinya sendiri, Umno.

Beliau mendakwa Ismail telah menawarkan untuk melantik Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri sebagai balasan atas sokongan Mahathir.

Lokman turut mendakwa Ismail menyalahguna kuasa untuk menghentikan pendakwaan terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho.

Dia turut mendakwa Ismail telah campur tangan bagi memastikan bekas perdana menteri Najib Razak disabitkan kesalahan dan dipenjara.

Ismail berkata dakwaan dalam video itu menjatuhkan reputasinya di kalangan ahli Umno dan telah menyebabkannya mengalami tekanan mental dan emosi.

Beliau berkata surat tuntutan telah dihantar kepada Lokman pada 25 Ogos untuk memadamkan video itu, tetapi dia enggan berbuat demikian dan enggan memohon maaf.

Ismail menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 1 Sept, Lokman, 49, turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi menyinggung perasaan terhadap Ismail dan kerajaan.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berhubung penyiaran yang didakwa dibuat melalui Facebook menggunakan nama profil “Lokman Noor Adam Official” dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Dakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) undang-undang sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.