
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, Mohamad Zain A Hamid, 48, didakwa menerima sogokan antara 28 Sept 2018 hingga 6 Mei 2020 ketika menjadi timbalan YDP MDKL.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima sogokan menerusi lapan kali pindahan wang tunai ke akaun teman wanitanya berjumlah RM9,000 dan tiga kali pembayaran kad kredit miliknya sendiri berjumlah RM13,100.
Semua suapan itu didakwa diterima daripada pemilik Kenali Yakin Enterprise, Azizul Ab Majid yang mempunyai hubungan rasmi dengannya, sebagai balasan untuk membantu syarikat di bawah seliaannya mendapatkan sebut harga dan inden di MDKL.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Okt ini.