Peruntukan belanjawan lebih besar bantu KPT pacu masa depan pelajar

Peruntukan belanjawan lebih besar bantu KPT pacu masa depan pelajar

Menterinya Noraini Ahmad berkata, peruntukan Bajet 2023 untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meningkat 4.25% kepada RM15.1 bilion berbanding RM14.5 bilion tahun lalu.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, RM15.1 bilion diperuntukkan pada Bajet 2023 meningkat 4.25% berbanding RM14.5 bilion tahun lepas.
BATU PAHAT:
Peruntukan sebanyak RM15.1 bilion seperti yang diumumkan pada Bajet 2023 kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan menyokong institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam memacu masa depan pelajar, kata menterinya Noraini Ahmad.

Noraini berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 4.25% berbanding RM14.5 bilion yang diperuntukkan tahun lalu kepada KPT.

Katanya, daripada jumlah itu, RM11.7 bilion akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus dan baki RM3.4 bilion lagi bagi perbelanjaan pembangunan.

“Alhamdulillah, demi memastikan anak-anak Keluarga Malaysia dapat meneruskan pengajian hingga ke menara gading dengan baik, KPT telah diperuntukkan dana lebih besar dalam Bajet 2023.

“Melalui jumlah ini, beberapa pengumuman telah dibuat yang memfokuskan kepada bantuan tunai, penyelesaian pinjaman pendidikan, pembangunan seperti naik taraf jaringan digital dan fasiliti di IPT di seluruh negara termasuklah peruntukan bagi meningkatkan pembudayaan Inisiatif Kampus Hijau di universiti awam serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Noraini berkata kerajaan turut peka terhadap pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan memperuntukkan sebanyak RM6.7 bilion.

Katanya, langkah itu dilihat mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya 55% lepasan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.

“Turut diberi perhatian ialah peruntukan-peruntukan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi Dana Inovasi Digital (Digid) bernilai RM30 juta dan pelaksanaan Program Usahawan Siswazah (PUSh) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memberi manfaat kepada 1,000 graduan yang menceburi bidang keusahawanan.

“Melalui penyaluran peruntukan-peruntukan yang disebutkan tadi, jelas membuktikan bahawa sektor pendidikan khususnya pengajian tinggi kekal sebagai pelaburan terbaik bagi membina masa depan yang cerah untuk anak-anak pelajar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.