
Beliau berkata langkah itu perlu lebih-lebih lagi dengan keadaan negara yang didakwanya ‘banyak hutang’.
“Terserah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), saya tak nak tekan adakan pilihan raya tapi kita telah bersedia jika ia diadakan pada bila-bila masa.
“Tapi kalau diadakan serentak itu lebih baik, ianya dapat kurangkan perbelanjaan, dah lah kerajaan berhutang, kalau diadakan PRK Batu Sapi, Bugaya, lepas itu PRU pula, banyak belanja diperlukan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.
Terdahulu sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya.
Pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi sebelum ini berkuatkuasa pada 18 Nov 2020 serta Parlimen Gerik dan DUN Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Dis 2020.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh sebelum ini juga pernah menyatakan, PRK di tiga kawasan itu akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh Proklamasi Darurat yang diisytiharkan di kawasan itu.
Parlimen Batu Sapi sebelum ini disandang Liew Vui Kong manakala DUN Bugaya disandang Manis Muka Mohd Darah, kedua-duanya daripada Warisan.
Kerusi Parlimen Batu Sapi terpaksa dikosongkan selepas Liew meninggal dunia pada 1 Okt 2020 manakala DUN Bugaya juga dikosongkan selepas Manis Muka meninggal dunia pada 17 Nov 2020.
Sementara itu, Shafie menyambut baik kenyataan Naib Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Shahrun Nidzam Sharoom yang mengatakan kerjasama parti itu dengan Warisan wajar dipertimbangkan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu enggan mengulas lebih banyak mengenai perkara itu kerana menyifatkannya hanya memperlihatkan beliau seolah-olah ‘melutut’ untuk menjalinkan kerjasama dengan PBS.
“Alhamdulillah kalau itu yang mereka telah nyatakan, kami sebenarnya memang menerima baik tapi saya tak boleh suarakan banyak kali seakan-akan saya pula melutut.
“Kita melihat parti lokal PBS dan Warisan, kalau itulah pandangan mereka (PBS), kita serahkan kepada pimpinan mereka.
“Tapi kalau mereka pun menolak, terpulang pada mereka, ‘we are ready’,” katanya.