Kementerian Pertahanan dalam proses akhir beli pesawat maritim, dron

Kementerian Pertahanan dalam proses akhir beli pesawat maritim, dron

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, aset berkenaan antara perolehan baharu yang dibuat menerusi perancangan kewangan di bawah Rancangan Malaysia.

Malaysia bakal membeli dua pesawat peronda maritim dari syarikat Leonardo dari Itali, kata Kementerian Pertahanan. (Gambar Leonardo)
KLUANG:
Kementerian Pertahanan kini dalam proses akhir untuk mengeluarkan surat setuju terima berhubung perolehan pesawat peronda maritim (MPA) dan pesawat tanpa pemandu kategori ‘Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aircraft System’ (MALE-UAS).

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, surat tersebut akan dikeluarkan selepas semua terma dan klausa serta spesifikasi dipersetujui oleh kerajaan dan syarikat berkaitan.

Beliau berkata, bagi perolehan MPA dan MALE-UAS, Kementerian Kewangan telahpun memuktamadkan kedua-dua tender tersebut.

“Untuk perolehan dua MPA, kerajaan bersetuju dengan tawaran oleh syarikat Leonardo manakala bagi perolehan tiga unit MALE-UAS, kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, kedua-dua aset berkenaan antara perolehan aset-aset baharu yang dibuat menerusi perancangan kewangan di bawah Rancangan Malaysia memandangkan peruntukan daripada bajet tahunan terhad dan tidak mencukupi khususnya bagi perolehan aset-aset strategik.

“Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antara fokus utama ialah melaksanakan perolehan beberapa jenis aset strategik antaranya MPA dan MALE-UAS. Seperti yang saya maklumkan di peringkat awal kepimpinan sebagai menteri kanan pertahanan kali ini, perolehan semua aset strategik ialah berdasarkan spesifikasi dan keperluan pengguna akhir iaitu TUDM termasuklah MPA serta MALE-UAS.

“Perolehan kesemua aset ini telah dilaksanakan secara Tender Terbuka Antarabangsa bagi memastikan perolehan ini dilaksanakan secara telus dan terbuka,” katanya.

Pada 13 Sept lepas, Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang dipetik sebagai berkata pesawat MALE-UAS dijangka tiba pada awal 2025 manakala pesawat pertama MPA dijangka diterima pada 2026.

Hishammuddin berkata, bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM), kementeriannya akan melaksanakan perolehan Kenderaan Jenis A 4×4 sebanyak 136 unit dan Kenderaan Jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion.

Berhubung penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia sedia ada, Hishammuddin berkata antara fokus utama ialah penyelenggaraan pesawat F/A-18D bagi TUDM.

“Ini penting bagi memastikan pesawat berkenaan terus berkeupayaan melaksanakan penugasan seiring tuntutan keselamatan semasa. Bagi tujuan ini, kira-kira RM2.4 bilion telah diperuntukkan bagi melaksanakan peningkatan keupayaan sistem pesawat F/A-18D serta F/A-18D `Sustainment Programme’.

“Kerja-kerja penyelenggaraan pesawat F/A-18D ini turut akan dilaksanakan menerusi kerjasama hasil hubungan erat Malaysia-Amerika Syarikat. Ia telah diperhalusi dan dipersetujui semasa perbualan telefon saya dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Llyod J. Austin III beberapa hari lepas,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri majlis penutup Karnival Tentera Darat 2022 di Stadium Mini, Taman Sri Lambak, di sini hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.