Besarkan anak angkat ikut ajaran Islam, wanita Cina terima anugerah Maulidur Rasul

Besarkan anak angkat ikut ajaran Islam, wanita Cina terima anugerah Maulidur Rasul

Chee Hoi Lan, 83, menerima anugerah dalam kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Chee Hoi Lan menerima Anugerah Maulidur Rasul daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pesara guru tadika berbangsa Cina, yang dikenali kerana membesarkan seorang kanak-kanak beragama Islam mengikut ajaran Islam, menjadi antara penerima Anugerah Maulidur Rasul tahun ini.

Chee Hoi Lan, 83, menerima anugerah dalam kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Chee bersendirian membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah sebagai orang Islam, selepas dia ditinggalkan pada usia dua bulan oleh ibunya, seorang pembantu warga Indonesia di tadika tempat Chee bekerja.

Ketika membesarkan Rohana, Chee sedar bahawa masalah bangsa dan agama akan timbul dan beliau berusaha untuk memastikan Rohana tidak kekurangan dari segi didikan sebagai orang Islam.

Beliau mendaftarkan Rohana untuk Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) dan memastikan Rohana mendapat semua pendidikan asas agama yang diperlukan di sekolah, selain menerusi bimbingan daripada kenalan.

Chee Hoi Lan bersama anak angkatnya, Rohana Abdullah, yang dibesarkannya sejak berusia 2 bulan. (Gambar Metro)

Satu-satunya hasratnya sekarang adalah untuk melihat Rohana berkahwin.

Rohana berdepan kesulitan mendapatkan kerakyatan sejak 2016, menjejaskan keupayaannya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Isu kerakyatan Rohana menarik perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menghubunginya untuk membantu dengan dokumentasi.

Pada April, Rohana menerima surat pemberian taraf kerakyatan Malaysia daripada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Dia kini sedang mengikuti pengajian sains komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Penerima lain Anugerah Maulidur Rasul 2022 termasuk penyanyi dan pengacara Syazrina Azman, atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina; pensyarah Universiti Malaya Azizan Baharudin; penerbit eksekutif penyiaran Ahmad Noor Sulaiman; Pengerusi Yayasan Zikay Khay Ibrahim; dan kaunselor berdaftar Hushim Salleh.

Sementara itu, tokoh korporat Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.