Agong, Raja Permaisuri ke London untuk lawatan khas bermula esok

Agong, Raja Permaisuri ke London untuk lawatan khas bermula esok

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan membuat kunjungan hormat kepada Raja Charles III di Istana Buckingham, London, pada 12 Okt.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat ke London untuk lawatan khas esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijadualkan berkenaan membuat kunjungan hormat kepada Raja Britain, Raja Charles III dalam lawatan khas baginda ke London bermula esok hingga 16 Okt.

Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan membuat kunjungan hormat kepada Raja Charles III di Istana Buckingham, London, pada 12 Okt.

Istana Negara dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, keberangkatan baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Sultan Abdullah dengan Raja Charles III.

“Seri Paduka Baginda menjalinkan persahabatan dengan Baginda Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.

“Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom (UK) sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun yang lalu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, pada 12 Okt juga, baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea iaitu projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

Katanya, Stesen Janakuasa Battersea yang berkeluasan 16.99 hektar adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 9 bilion Pound.

“Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar bagi Malaysia pada 2021 dengan jumlah dagangan direkodkan antara kedua negara sebanyak 17.17 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 2.2% berbanding pada 2020.

“Nilai eksport Malaysia pada tahun lalu juga telah direkodkan sebanyak RM9.78 bilion, manakala nilai import dari UK sebanyak RM7.39 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.