PN berhak nyata pandangan, utus warkah kepada Agong bantah PRU15, kata Peja

PN berhak nyata pandangan, utus warkah kepada Agong bantah PRU15, kata Peja

Menteri belia dan sukan itu berkata dalam negara demokrasi, mana-mana pihak boleh menyatakan pandangan mereka.

Ahmad Faizal Azumu berkata beliau menghormati pandangan Ahmad Maslan yang tidak bersetuju dengan tindakan menteri daripada PN mengutus warkah kepada Agong berhubung penetapan tarikh PRU15 diadakan tahun ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata barisan menteri daripada Perikatan Nasional (PN) berhak mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyuarakan rasa tidak setuju dengan pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Beliau yang juga timbalan presiden Bersatu itu berkata, dalam negara demokrasi, mana-mana pihak boleh menyatakan pandangan mereka.

“Ini negara demokrasi, kami fikir kami perlu sampaikan hasrat kami pada Agong.

“Ada pihak tak setuju dan ada ramai juga yang setuju. Tak perlu gaduh,” katanya pada sidang media di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan semalam yang menyifatkan tindakan mereka itu sebagai tidak wajar.

Ahmad berkata anggota Jemaah Menteri daripada PN sepatutnya menyuarakan pandangan berhubung perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Sebelum itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan barisan menteri daripada PN menyerahkan warkah itu kepada Istana Negara bagi menyatakan rasa tidak setuju terhadap penetapan tarikh PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin yang turut mengesahkan perkara itu berkata surat bertarikh 3 Okt sudah diserahkan kepada Agong pada Rabu lalu.

Beliau yang dipetik Bernama berkata, buat masa ini menteri daripada PN lebih memberikan tumpuan terhadap perkara berkaitan kebajikan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.