Pastikan tiada ‘Azmin Ali’ dalam calon PH, kata Rafizi

Pastikan tiada ‘Azmin Ali’ dalam calon PH, kata Rafizi

Timbalan Presiden PKR berkata, PH menapis dengan teliti bakal calon pilihan raya yang dicadangkan orang ramai.

Rafizi Ramli ditanya peserta perhimpunan Ayuh Malaysia mengenai calon pilihan raya yang dicadangkan oleh orang ramai.
PETALING JAYA:
Bakal calon pilihan raya yang dicadangkan orang ramai kepada Pakatan Harapan (PH) akan ditapis secara teliti supaya tiada “Azmin Ali” dalam kalangan mereka, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Proses saringan calon berpotensi sudah berlangsung,” katanya dalam perjumpaan Ayuh Malaysia pada hari ini.

“Kita mungkin tidak 100% betul tetapi saya pasti kali ini kita tidak akan ada sesiapa seperti Azmin Ali,” katanya yang merujuk bekas pemimpin PKR itu yang mengetuai beberapa lagi pemimpin keluar dari parti menyebabkan kerajaan PH tumbang pada 2020.

Rafizi sebelum itu ditanya peserta apa yang dilakukan PKR untuk memilih calon berkualiti dan bagaimana memastikan calon itu mewakili rakyat.

Beberapa hari lalu, Rafizi mengumumkan PKR membuka peluang kepada seluruh rakyat untuk menjadi calon parti itu pada pilihan raya umum ke-15 sebagai satu cara melebar luaskan calon berpotensi.

Rafizi turut memaklumkan, PKR menganggarkan sebanyak 10,000 penyertaan calon bakal diterima dari seluruh negara.

Dalam perkembangan berasingan, Rafizi bersedia mengemukakan bukti susulan laporan polis yang dibuat Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz terhadapnya.

Rafizi berkata, dia “OK” kerana mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Ikmal Hisham dengan syarikat yang dianugerahkan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH).

“Saya sudah pasti akan mengemukakan semua bukti,” katanya dan menambah dakwaan itu sudah tersebar sejak beberapa bulan lalu.

Ikmal Hisham menafikan tuduhan itu dan berkata, dakwaan tersebut bertujuan mencemarkan imejnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.