KKM naik taraf hospital, klinik daif luar bandar, kata KJ

KKM naik taraf hospital, klinik daif luar bandar, kata KJ

Menteri kesihatan berkata sebahagian peruntukan RM36.1 bilion kepada KKM, diumumkan dalam Bajet 2023 akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, menaik taraf fasiliti kesihatan itu kerana terdapat hospital dan klinik kesihatan daif menjangkaui usia melebihi 50 tahun. (Gambar Facebook)
JEMPOL:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menaik taraf serta membaik pulih fasiliti serta Klinik Kesihatan di negara ini yang daif, khususnya di luar bandar.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata sebahagian peruntukan RM36.1 bilion kepada KKM, diumumkan dalam Bajet 2023 akan digunakan untuk tujuan tersebut.

Khairy berkata menaik taraf fasiliti kesihatan itu penting memandangkan terdapat hospital dan klinik kesihatan daif, malah menjangkaui usia melebihi 50 tahun.

“Saya sendiri turun melawat klinik yang telah dibina sejak tahun 60 hingga 70-an, ada klinik yang lagi tua daripada saya.

“Alhamdulillah, semalam diluluskan untuk KKM menaik taraf fasiliti kesihatan yang daif di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan, yang dirasmikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 mengumumkan, KKM antara yang menerima peningkatan peruntukan terbesar dalam Bajet 2023 iaitu sebanyak RM36.1 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, Khairy turut berkata perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya tertumpu kepada perubatan di hospital semata-mata, tetapi juga dalam memastikan langkah-langkah pencegahan penyakit perlu dilaksanakan.

Beliau berkata negara membelanjakan berbilion ringgit untuk pengoperasian hospital, sedangkan ia lebih baik untuk diberikan kepada usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

“Saya yakin satu hari nanti kita dapat membudayakan sebuah Keluarga Malaysia yang sihat sejahtera, dengan hospital lengkap beroperasi, tetapi rakyat kita tidak perlu pergi ke hospital kerana kita kekal sihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.