Bajet 2023 kurang beri manfaat kepada sektor swasta, kata MEF

Bajet 2023 kurang beri manfaat kepada sektor swasta, kata MEF

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, penting bagi kerajaan untuk membantu menggiatkan semula sektor swasta bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

MEF menyarankan agar kerajaan meneruskan subsidi gaji bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sepatutnya mewujudkan lebih banyak peluang untuk sektor swasta dalam Bajet 2023, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata, penting bagi kerajaan untuk membantu menggiatkan semula sektor swasta bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Katanya, salah satu cara adalah dengan meneruskan program subsidi gaji bagi membantu majikan mengekalkan perniagaan mereka.

“MEF berharap sekiranya keadaan pada 2023 memerlukan pengenalan semula subsidi gaji, kerajaan harus membantu perniagaan dengan subsidi gaji bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan telah mengagihkan RM20.89 bilion kepada 357,895 majikan melalui program subsidi gaji setakat 1 Julai tahun ini.

Langkah ini membolehkan 2.96 juta pekerja tempatan terus bekerja dalam usaha mengurangkan pengangguran akibat kesan ekonomi ekoran wabak Covid-19 sejak Mac 2020.

Sementara itu, Hussain menghargai pelbagai inisiatif yang digariskan dalam belanjawan itu, seperti pemotongan cukai selama lima tahun bagi wanita yang kembali bekerja.

“Pelbagai pengurangan dan penstrukturan cukai pendapatan akan meningkatkan keupayaan negara untuk menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.