Bahas, lulus belanjawan 2023 sebelum bubar Parlimen, kata Mahfuz

Bahas, lulus belanjawan 2023 sebelum bubar Parlimen, kata Mahfuz

Naib Presiden Amanah berkata, Bajet 2023 tidak sepatutnya dibentangkan sekiranya Ismail berhasrat membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Mahfuz Omar berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak membubarkan Parlimen sebelum Bajet 2023 diluluskan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak membubarkan Parlimen sebelum Bajet 2023 yang baru dibentangkan, diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mahfuz berkata, kerajaan pimpinan Ismail tidak seharusnya membentangkan Bajet 2023 sekiranya mahu membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat menyebabkan belanjawan itu tidak sempat dibahaskan oleh Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

“Tindakan membubarkan Parlimen tidak sepatutnya dilakukan, jika ingin dilihat sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat.

“Kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya bertindak kurang matang seolah-olah memberitahu rakyat, kalau mahu bajet ini maka kamu perlu undi kami.

“Tindakan sedemikian merupakan satu perbuatan yang jijik dalam sebuah negara demokrasi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mahfuz berkata, pembentangan bajet dilakukan setiap tahun oleh kerajaan untuk memberitahu jumlah perbelanjaan dan peruntukan yang akan digunakan pada tahun berikutnya.

“Bajet yang dibentangkan perlu dibahaskan oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menambah baik perkara yang dibentangkan.

“Selepas dibahaskan di Dewan Rakyat, Bajet 2023 juga akan turut dibahaskan di Dewan Negara sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu sedar seluruh Keluarga Malaysia sekarang berdebar-debar untuk berdepan musim tengkujuh bukan mengharapkan pilihan raya umum ke-15 diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.