
Katanya, polisi yang dibuat semasa pandemik tidak konsisten berbanding dengan negara rantau Asia lain menyebabkan banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) gulung tikar.
“Kita kejap buka, kejap tutup sedangkan negara lain apabila mereka tutup, tutup betul dan bila buka, mereka buka selamanya.
“Apabila perkara ini berlaku, kesannya adalah apabila kita buka, kita keluar modal dan apabila tutup balik, kita hilang modal,” katanya pada program khas sempena pembentangan Bajet 2023 disiarkan TV3.
Turut dijemput sebagai panel Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, kebanyakan syarikat yang beroperasi di dalam negara 98% adalah daripada bersifat mikro dan hanya 2% adalah syarikat besar.
“Tetapi yang memberi sumbangan kepada KDNK, syarikat besar hanya sumbangkan 68% tetapi syarikat 98% ini menyumbang 32%.
“Apabila KDNK nampak bagus jadi kita ingat semuanya bagus tetapi yang menyumbang adalah syarikat besar 2% peratus ini yang tidak terjejas.
“Apabila kila lihat pada syarikat PKS ini pula yang menyumbang 98% ekonomi negara, 78% daripada mereka adalah mikro dan banyak yang tutup akibat Covid-19,” katanya.
Katanya, angka KDNK yang nampak bagus ini sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar yang dialami syarikat sederhana dan mikro ini.
Sementara itu, Rafizi turut bersetuju dengan Johari dan berkata, beliau sebagai ahli perniagaan turut terkesan ketika perintah kawalan pergerakan.
Katanya, sebagai ahli politik beliau tidak faham situasi syarikat kecil sepertinya.
“Bila terdapat tidak ketentuan, PKS memutuskan untuk tidak berbelanja lebih. Bagi pandangan pelabur, ia memberi gambaran kerajaan tidak mempunyai perancangan sekali gus mengurangkan keyakinan terhadap kerajaan untuk menangani ekonomi dan Covid-19,” katanya.
Johari berkata, projek mega harus dipilih secara teliti untuk memastikan ada kesan berganda yang besar kepada ekonomi tempatan.
Katanya, banyak projek mega sebelum ini memerlukan pembabitan besar pihak luar menyebabkan pengaliran besar mata wang ringgit dan mengambil pekerja mahir luar menjejaskan keseimbangan perdagangan negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu membuat satu kaedah untuk mengurangkan kesan hutang sewa beli yang tinggi ditanggung rakyat ketika ini akibat peningkatan kadar faedah.
Menurutnya, rakyat perlu membayar hutang dengan kadar sama dan lebihan hanya dibayar ketika hutang itu hampir habis.
“Katanya seseorang itu membayar hutang RM700 sebulan tetapi kini perlu membayar lebih RM120 ke RM150.
“Lebihan ini boleh ditolak ke belakang dan dibayar apabila hutang ini diselesaikan,” katanya.