Ubat batuk sebabkan kematian di Gambia tak berdaftar di Malaysia

Ubat batuk sebabkan kematian di Gambia tak berdaftar di Malaysia

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan berterusan melibatkan insiden ini bagi menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua empat ubat batuk yang dikaitkan dengan kematian di Gambia tidak berdaftar di Malaysia.
PETALING JAYA:
Empat ubat batuk dari India yang dikaitkan dengan kematian 66 orang kanak-kanak di Gambia tidak berdaftar di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan, beliau berkata empat produk berkenaan dikilangkan oleh Maiden Pharmaceuticals, India iaitu Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

“Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati bahawa keempat-empat produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan berterusan melibatkan insiden ini bagi menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini dan akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, laporan media menyebut 66 kanak-kanak di Gambia maut selepas meminum ubat batuk yang dikilangkan oleh Maiden Pharmaceuticals iaitu ubat batuk jenis Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

Sebelum itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai empat ubat batuk dan selesema berkenaan yang dikaitkan dengan kematian itu.

WHO turut memberi amaran sama bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat, dengan ‘kemungkinan wujud pendedahan global’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.