Lebih banyak untuk pembangunan, tapi siapa bayar, soal pakar ekonomi

Lebih banyak untuk pembangunan, tapi siapa bayar, soal pakar ekonomi

Pensyarah kanan ekonomi UM Goh Lim Thye berkata ringgit yang semakin lemah menyebabkan Malaysia terpaksa berbelanja lebih untuk membuat pinjaman bagi membiayai perbelanjaan itu.

Belanjawan 2023 memperuntukkan RM5.2 bilion untuk penyelenggaraan jalan raya dan RM3.7 bilion untuk projek kecil serta sederhana. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi mempersoalkan bagaimana kerajaan akan membiayai peningkatan peruntukan pembangunan dalam Bajet 2023 meskipun mengakui ia mampu meningkatkan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan.

Pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, Goh Lim Thye, berkata beliau gembira melihat peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan berbanding pengurusan operasi.

“Ia satu perkara baik dan saya berharap ia memberi kesan berganda kepada ekonomi,” kata Goh. “Bagaimanapun, saya meragui bagaimana kita akan membiayainya kerana Bajet 2023 meramalkan penurunan dalam kutipan hasil.”

Beliau berkata, ringgit yang semakin lemah menyebabkan Malaysia terpaksa berbelanja lebih untuk membuat pinjaman bagi membiayai perbelanjaan tersebut.

Goh berkata, insentif cukai baharu diumumkan untuk menarik pelabur asing tidak mungkin menjana pendapatan kukuh tetapi beliau berharap ia akan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Dalam Bajet 2023 dibentang hari ini, kerajaan memperuntukkan RM95 bilion untuk pembangunan, meningkat 26% berbanding Bajet 2022.

Perbelanjaan terbesar dalam segmen itu adalah untuk penyelenggaraan dan pembaikan bangunan kerajaan yang menelan belanja RM11.4 bilion. Selain itu, RM562 juta untuk projek Empangan Sabo, RM510 juta untuk menambah baik infrastruktur jalan ke Pengerang dan RM500 juta untuk projek infrastruktur untuk kontraktor G1-G4.

Sementara itu, pakar ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula optimis rancangan pembangunan bandar sempadan berhampiran Thailand dan Kalimantan yang mendapat peruntukan RM150 juta.

“Ia (Bajet 2023) menyegarkan dan dialu-alukan. Bajetnya sangat komprehensif dan bacaannya sangat terperinci,” katanya.

Kedua-dua pakar ekonomi itu berkata golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) pastinya gembira dengan peruntukan pelbagai skim bantuan seperti bantuan kebajikan RM10 bilion dan RM2.5 bilion untuk bantuan Bantuan Keluarga Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.