
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi, Mohd Hisham Mohd Anip, berkata PRU15 tidak sesuai diadakan ketika monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
“Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15.
“Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan ada banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir. Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya,” katanya menurut Harian Metro.
Hisham berkata, MTL dijangka bermula pertengahan bulan depan dan berakhir Mac 2023.
Dalam tempoh itu, katanya, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh menyebabkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL dari November hingga Januari depan.
Menurutnya, hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember, serta ia dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak mulai Disember hingga Februari depan.
“Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat, sekiranya luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023.”