
“Sepatutnya ia menjadi penamat,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, berulang kali memohon maaf berhubung kenyataan media dikeluarkan pasukan pembelaan, pada Isnin.
Shafee menjelaskan, kenyataan itu dibuat selepas beberapa wartawan bertanya kepadanya mengenai transaksi dalam akaun Najib, pada 2011.
Beliau menekankan kandungan kenyataan itu adalah tepat, sambil menambah pembelaan hanya menunjukkan lima transaksi lain yang berlaku dan empat surat, di mana mereka mendakwa dikeluarkan oleh seorang Putera Saud Abdulaziz Al-Saud.
Pendakwa Ad Hoc, Gopal Sri Ram, berkata haluan sewajarnya bagi pasukan pembelaan membangkitkan aduan mereka adalah di hadapan Sequerah, terutama berhubung sebarang bentuk rungutan yang ada mengenai ketakdedahan dokumen.
Adalah salah bagi pembelaan mengutarakan rasa tidak puas hati kepada orang awam, katanya.
“Adakah beliau (Shafee) mahu saya pergi kepada media (menjelaskan kes) dan selepas itu perbicaraan dibawa keluar dari mahkamah? Kita melawan di mahkamah jika timbul apa-apa sekalipun,” katanya.
Shafee membalas dengan memberitahu mahkamah bahawa pembelaan akan mengelak daripada membuat ulasan kepada media mengenai perlakuan pendakwaan.
Pihak pendakwaan, pada 3 Okt, mengemukakan aduan kepada hakim bahawa Najib dan pasukan pembelaannya membuat ulasan dalam media terhadap kes yang sedang berjalan.
Ia berikutan kenyataan media dikeluarkan peguam Najib, pada hari sebelumnya, yang menyentuh isu sedang didengar mahkamah.
Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan dalam akaun Ambank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran bersambung dengan keterangan daripada bekas pengarah urusan Ambank, Cheah Tek Kuang.