
RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas 22 Ahli Parlimen menyertai perbahasan ketika dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga.
RUU untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 3 Okt.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika membentangkan RUU itu berkata pindaan bagi mewujudkan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan denda maksimum RM10 juta melibatkan kesalahan pencemaran air, pelepasan minyak, pelepasan buangan ke dalam perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.
“Mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000,” katanya.
Akta sedia ada tidak menetapkan hukuman penjara mandatori dan penalti minimum.
Akta berkenaan menyatakan takrifan buangan adalah apa-apa benda yang ditetapkan sebagai buangan terjadual sama ada dalam bentuk pepejal, separuh pepejal, cecair, dalam bentuk gas, atau wap dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan yang menyebabkan pencemaran.
RUU itu juga bagi memasukkan takrifan pembakaran terbuka yang bermaksud apa-apa kebakaran, pembakaran atau pembaraan berlaku di udara bebas dan tidak dihalakan ke udara bebas itu melalui serombong atau cerobong.
Pindaan kali ini adalah pindaan ketujuh, selaras dengan isu pencemaran yang semakin berleluasa seperti pembuangan sisa kimia ke dalam sungai, pelepasan asap kilang tanpa kawalan sewajarnya, pencerobohan hutan secara berleluasa, pembakaran terbuka, dan pembangunan tidak terkawal.
Tuan Ibrahim berkata, statistik menunjukkan kes disabitkan di mahkamah pada 2017 berjumlah 218 kes meningkat kepada 405 kes pada 2020.
“Hukuman lebih berat dan setimpal perlu dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar kerana pencemaran ini menjejaskan ekosistem alam sekitar, memberi impak negatif kepada kualiti kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan, Yeo Bee Yin (PH-Bakri) mencadangkan agar kerajaan mewajibkan pendaftaran syarikat ke dalam sistem maklumat bahan berbahaya kepada alam sekitar (MyEHS) bagi mewujudkan pangkalan data bahan berbahaya di negara ini.
Yeo yang juga bekas menteri tenaga, teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar berkata dengan pangkalan data itu, ia memudahkan pihak berkuasa menyiasat dan membuktikan di mahkamah kes terlibat dengan bahan berbahaya seperti insiden pencemaran Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.
Ini kerana, katanya, pendaftaran syarikat di MyEHS ketika ini adalah secara sukarela.
“Pangkalan data ini akan membantu pihak penguatkuasa untuk menyiasat dan membuktikan di mahkamah kes-kes yang terlibat dengan bahan berbahaya,” katanya.