LHDN tarik balik rayuan tuntutan cukai RM10.3 juta daripada anak Najib

LHDN tarik balik rayuan tuntutan cukai RM10.3 juta daripada anak Najib

LHDN yang telah menyelesaikan kes itu dengan Nooryana Najwa memfailkan notis semalam untuk menarik balik rayuan.

Nooryana Najwa dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan LHDN pada Julai 2019, selepas gagal menyerahkan borang nyata cukai pendapatan individu bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak untuk mendapatkan semula RM10.3 juta cukai pendapatan tidak dibayar daripada anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa.

Peguam Wee Yeong Kang berkata, LHDN telah memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan hari ini.

“LHDN memfailkan notis pemberhentian semalam, yang menyebabkan rayuan itu dikeluarkan daripada senarai,” katanya kepada FMT.

Wee juga berkata, hal berkaitan antara LHDN dan Nooryana telah diselesaikan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Peguam Kanan LHDN, Hazlina Hussain mengesahkan keputusan untuk tidak meneruskan rayuan itu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2020 menolak permohonan menerusi penghakiman terus kerana afidavit yang dikemukakan oleh pegawai tidak mengesahkan kepercayaan bahawa tiada merit untuk pembelaannya.

Mahkamah juga mendapati perakuan yang dikemukakan oleh kerajaan sebagai bukti jumlah cukai yang perlu dibayar dan perlu dibayar tidak ditandatangani oleh ketua pengarah LHDN seperti dikehendaki bawah Seksyen 142 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Penghakiman terus berlaku apabila mahkamah memutuskan kes tanpa mendengar keterangan saksi.

Nooryana, anak kedua Najib hasil perkahwinannya dengan Rosmah Mansor, dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan LHDN pada Julai 2019 selepas dia gagal menyerahkan borang penyata cukai pendapatan individu bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

LHDN telah meminta RM10,335,292.36, ditambah faedah ke atas jumlah itu pada kadar 5% setahun dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.