
Sng yang juga presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen itu.
Bobby berkata, keyakinan itu bersandarkan kekuatan yang ada pada partinya di peringkat akar umbi, selain bersedia pada bila-bila masa untuk mengalahkan Sng.
“PBDS tidak gentar dengan cabaran dilontarkan oleh PBM, atau mana-mana calon lain yang bakal bertanding merebut kerusi majoriti Iban itu,” katanya menurut Borneo Post.
“Kami boleh menang 100% kerana kami ada kekuatan. Jika tidak, mengapa kami mahu bertanding.”
PBDS mengesahkan mereka akan bertanding di Parlimen Julau, Kapit, Baram dan Sibuti.
Pada PRU14, Sng yang bertanding atas tiket bebas, menang di Parlimen Julau menundukkan penyandang, Joseph Salang Gandum (BN-PRS) dengan majoriti 1,931 undi.
Sabtu lalu, PBDS bersama Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan tiada pertindihan kerusi antara tiga parti pembangkang tempatan, pada PRU akan datang.
Presiden ketiga-tiga parti itu berkata, mereka telah belajar daripada kesilapan ketika pilihan raya negeri (PRN) lalu dan akan mengumpulkan sumber menghadapi gabungan Gabungan Parti Sarawak dan parti lain.