
Persatuan Okinawan Shorin-Ryu Sei-bu-kan Karate Do Antarabangsa Malaysia (IOSSKAM) berkata, wujud salah anggapan bahawa pertubuhan sukan persendirian stabil dari segi kewangan dan tidak memerlukan pembiayaan kerajaan.
Hakikatnya, kebanyakannya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kemudahan latihan asas sekali pun, kata presidennya, Minalochuni Pathmanathan.
“Dana diharapkan kami akan memanfaatkan atlet yang berpeluang menyertai pertandingan antarabangsa,” katanya kepada FMT, dengan menambah badan sukan seperti itu sukar mengumpulkan dana diperlukan secara bersendiri.
Persatuan itu mendapat perhatian selepas pasukannya pergi ke Paris atas kredit dengan bantuan agensi pelancongan tempatan, sebelum meraih beberapa pingat termasuk emas pada Kejohanan Terbuka Karate Antarabangsa.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap agar Bajet 2023 akan menyediakan peruntukan bagi membolehkan persediaan untuk Olimpik 2024 di Paris, termasuk program “Road to Our First Olympic Gold Medal”.
Presiden MOM Norza Zakaria, berkata dana berkenaan akan membolehkannya menggaji jurulatih dan kakitangan sokongan untuk tempoh lebih lama.
“Buat masa ini, kami memperbaharui kontrak atlet dan jurulatih selepas sesebuah kejuaraan, dan ini tidak elok untuk perancangan jangka panjang,” katanya.
Norza berkata, sumbangan daripada syarikat swasta dan individu wajar diberikan pelepasan cukai atau insentif untuk memacu sumbangan dana sukan.
Ini akan meredakan tekanan terhadap kerajaan untuk menyediakan dana, selain mewujudkan model lebih mampan untuk sektor awam serta swasta membangunkan sukan.
Sementara itu, Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) mengharapkan peruntukan untuk mewujudkan akademi bagi melatih bakat baharu, selain arena yang dapat menghasilkan pembangun permainan.
Ketua pegawai komunikasinya, Putri Noor Juwita Abdul Jalil memberitahu FMT, bahawa Malaysia wajar mempunyai pembangun permainan sendiri, memandangkan penganjur pertandingan e sukan kebanyakannya bergantung kepada pembangun antarabangsa.