18 ditahan, warga Palestin diculik selamat

18 ditahan, warga Palestin diculik selamat

Polis berkata mangsa berusia 31 tahun masuk ke negara ini pada 21 Sept lalu sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah serta merupakan ahli perniagaan.

Polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang dan Melaka mulai 29 Sept hingga semalam.
KUALA LUMPUR:
Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Palestin, sehari selepas diculik individu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 29 Sept lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata mangsa berusia 31 tahun itu diselamatkan selepas 18 individu ditahan dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor serta Melaka bermula 29 Sept hingga semalam.

“Semua 18 individu yang ditahan berusia 21 hingga 42 tahun, disyaki berperanan menculik dan menyembunyikan mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 Sept lepas sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah,” katanya pada majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Azmi berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif penculikan dan tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan ahli perniagaan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah melibatkan kes penipuan dan empat daripadanya positif dadah jenis syabu.

Menurutnya, semua individu yang ditahan itu direman hingga 18 Okt ini untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Terdahulu, Azmi dalam sidang media itu berkata, dadah jenis syabu antara dadah yang merekodkan rampasan serta tangkapan tertinggi di Kuala Lumpur menerusi statistik dari 2005 hingga 2021 yang dianggarkan bernilai RM10.85 juta.

Beliau berkata, pelupusan dadah itu turut melibatkan dadah jenis methamphetamine, kanabis, air ketum dan ketamin yang membabitkan 2,894 kertas siasatan.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dilupuskan adalah 224,638g dan 139,295ml serta dianggarkan bernilai RM16.89 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.