Pesara tentera cabar keputusan KDN tolak daftar parti politik

Pesara tentera cabar keputusan KDN tolak daftar parti politik

Abdullah Mohamed yang mengetuai parti dianggotai pesara tentera itu berkata, keputusan itu menyebabkan mereka tiada pilihan selain kembali ke mahkamah.

Peguam Lim Wei Jiet (dua dari kiri) dan pengasas Parti Kemakmuran Negara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Sept lalu.
PETALING JAYA:
Parti Kemakmuran Negara (PKN) akan memfailkan satu semakan penghakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menolak pendaftaran ia sebagai parti politik.

Abdullah Mohamed yang mengetuai parti dianggotai pesara tentera itu berkata, keputusan itu menyebabkan mereka tiada pilihan selain kembali ke mahkamah.

PKN akan diwakili peguam Lim Wei Jiet yang juga pengasas bersama Muda.

Abdullah dalam satu kenyataan berkata, keputusan menolak permohonan parti itu dianggap tidak menghormati pesara tentera yang banyak berkorban untuk negara.

“Kami (pesara tentera) hanya mahu hak kami dalam perlembagaan untuk menubuhkan parti politik supaya dapat mewariskan negara yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Katanya, pesara tentera kini berada dalam keadaan “keliru” berhubung keputusan itu dan tiada alasan atau penjelasan jelas diberi KDN.

“Umpama menabur garam pada luka, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin juga tidak sudi untuk menandatangani surat yang memaklumkan penolakan permohonan kami,” katanya yang memberitahu dokumen itu ditandatangani seorang pegawai KDN.

PKN memohon untuk mendaftar sebagai satu parti politik pada 9 Mac 2021 tetapi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang di bawah KDN menolak permohonan itu pada 16 Mac tahun ini.

PKN kemudiannya merayu keputusan itu.

Pada 7 Julai lalu, parti itu memfailkan semakan penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap KDN kerana lewat membuat keputusan mengenai rayuan itu.

Mahkamah pada 21 Sept kemudiannya membenarkan permohonan PKN untuk mencabar KDN.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid juga mengarahkan menteri dalam negeri untuk membuat keputusan mengenai rayuan permohonan PKN dalam tempoh 14 hari bermula 20 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.