Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 muat naik video sumbang

Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 muat naik video sumbang

Video itu dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada 18 Mac tetapi dipadam sehari kemudian susulan kecaman orang ramai.

Pelakon Zul Ariffin (kiri) dikenakan hukuman denda kerana memuat naik video berhubung siri televisyen dibintanginya bertajuk “Perempuan Itu”. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memuat naik klip video bersifat sumbang di akaun Instagram miliknya pada Mac lalu.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Zul didakwa memuat teaser klip ‘babak panas’ itu untuk siri yang akan ditayangkan di televisyen bertajuk “Perempuan Itu” pada 18 Mac.

Siri itu dijadualkan untuk disiarkan semasa bulan puasa umat Islam pada bulan April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 juga memperuntukkan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika disabitkan kesalahan.

Zul Ariffin diwakili peguam, P Sivaran dan M Saresh manakala pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Timbalan Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin.

Pelakon itu pada Mac lau, mencetuskan kontroversi apabila memuat naik satu babak panas bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri “Perempuan Itu” yang dijadual ditayangkan ketika bulan Ramadan pada April.

Zul memadamkan video itu keesokkan harinya tetapi MCMC tetap membuat siasatan mengenai perkara itu selepas menerima kecaman orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.