Khoo ada agenda gesa bubar JKPK Parlimen bawah JPM, kata Abdul Latiff

Khoo ada agenda gesa bubar JKPK Parlimen bawah JPM, kata Abdul Latiff

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi agensi bawah JPM itu berkata, gesaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tidak tepat dan mempunyai agenda yang tidak jelas.

Pengerusi JKPK Parlimen bagi agensi bawah JPM, Abdul Latiff Abdul Rahman menegaskan bahawa jawatankuasa itu bukanlah jawatankuasa yang paling sedikit bermesyuarat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi agensi bawah Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, gesaan supaya jawatankuasa itu dibubarkan kerana tidak berfungsi dengan baik sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan jauh terpesong.

Latiff berkata, dakwaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga ahli Jawatankuasa JKPK itu juga tidak tepat dan mempunyai agenda yang tidak jelas.

Khoo sebelum ini menggesa jawatankuasa itu dibubarkan menjelang tarikh luputnya pada 10 Nov ini, kerana dia kecewa dalam beberapa isu seperti gagal memanggil ketua pesuruhjaya SPRM, isu kapal tempur pesisir (LCS) dan jarang mengadakan mesyuarat.

“Sebagai salah seorang anggota JKPK tersebut, saya amat kecewa kerana ia tidak mempunyai keinginan politik dan kepimpinan yang baik untuk berfungsi dengan berkesan,” kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu dalam kenyataan.

Latiff berkata, surat pemakluman dan jawapan daripada penasihat undang-undang (PUU) Parlimen Malaysia diedarkan pada 4 Ogos kepada semua ahli jawatankuasa termasuk Khoo sendiri berkaitan jawapan balas ketua pesuruhjaya SPRM yang tidak hadir ke prosiding jawatankuasa itu.

“Maklumbalas dan nasihat PUU amat penting untuk dirujuk agar prosiding JKPK JPM tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan,” katanya dalam kenyataan.

Menjawab mengenai isu LCS pula, Latiff memberitahu, beliau tidak menerima cadangan bagi memanggil SPRM untuk memberi taklimat berkaitan isu kapal perang itu.

“Pada pandangan saya, apa perlunya untuk memanggil SPRM kerana sudah jelas berdasarkan laporan akhbar pada 11 Ogos yang lalu, siasatan SPRM sudah selesai dan telah diserahkan kepada peguam negara,” katanya.

Latiff turut menegaskan bahawa jawatankuasa itu bukanlah jawatankuasa yang paling sedikit bermesyuarat berbanding JKPK lain.

“Pada 2022 jawatankuasa ini sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat dan ada juga mesyuarat yang telah ditetapkan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana beberapa masalah teknikal di peringkat agensi yang dipanggil,” katanya.

Namun, Latiff sedikit bersetuju dengan kenyataan Khoo bahawa JKPK Parlimen bagi agensi bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai terlalu banyak agensi di bawahnya.

“Saya berharap ahli-ahli terutamanya Kota Melaka turut berperanan dengan lebih baik untuk kelangsungan jawatankuasa ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.