
Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, tidak perlu mempersoalkan sebab beliau tidak memilih parti lain, seperti Bersatu atau parti komponen Barisan Nasional.
“Tak usah tanya saya mengapa saya tidak pilih parti lain. Ini adalah pilihan saya, itu sahaja.
“Saya tidak mahu memberikan serta mengulas dengan memberikan jawapan lain.
“Kita tengok masa depan nanti macam mana. Sekarang ini apa yang kita tahu, pilihan raya umum semakin menghampiri,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Semalam, Presiden Pengganti PBM, Zuraida Kamaruddin berkata, Xavier dan seorang lagi bekas pemimpin PKR, Edmund Santhara Kumar sudah menyertai parti itu.
Oleh itu, katanya, PBM kini mempunyai enam Ahli Parlimen, dengan lima daripadanya memenangi kerusi mereka pada PRU 2018 ketika bersama PKR, manakala seorang lagi dengan Warisan.
Selain Zuraida (Ampang), Santhara (Segamat) dan Xavier (Kuala Langat), Ahli Parlimen lain dalam PBM ialah Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).