
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim memuji kejayaan pihak berkuasa menyelamatkan 261 warga Malaysia yang menjadi mangsa penipuan kerja di Kemboja setakat ini.
Tetapi katanya, angka yang didedahkan di media massa hanya sebahagian kecil daripada jumlah sebenar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja.
“Ada pihak yang mendakwa jumlah sebenar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja mencecah beribu-ribu orang.
“Nyawa rakyat Malaysia tidak harus diperjudikan di Kemboja, sekiranya kerajaan Kemboja tidak mampu memberi jaminan perlindungan dan keselamatan kepada rakyat kita ketika berada di sana,” katanya dalam kenyataan.
Sim berkata, tiba masanya rantau Asia Tenggara menguatkuasakan undang-undang dan dasar perlindungan pekerja yang lebih tegas bagi membanteras jenayah pemerdagangan manusia.
Katanya, Malaysia harus memimpin di peringkat Asean bagi mewujudkan kerjasama serantau untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia.
“Rantau Asia Tenggara disenarai hitam sebagai wilayah pemerdagangan manusia.
“Perniagaan dan produk negara terlibat, termasuk Malaysia sudah dikenakan sekatan sebelum ini dan jika jenayah pemerdagangan manusia tidak dibanteras, perniagaan dan pelaburan rantau ini akan terjejas,” katanya.