
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan akhir itu mengandungi syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes itu.
Katanya, penubuhan pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas peguam negara, Apandi Ali membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan kedaulatan dan persempadanan maritim negara sentiasa terjamin serta menjadi keutamaan.
“Dijelaskan bahawa pasukan petugas khas itu terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes ini pada 2016 hingga 2017.
“Pakar pengukuran maritim dan wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan sudah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan yang ditetapkan memfokus kepada aspek perundangan dan hubungan Malaysia-Singapura,” katanya dalam kenyataan dipetik Harian Metro.
Bagi menjayakan tugasan hampir sembilan bulan bermula 9 Nov 2021 hingga 30 Ogos lalu, katanya, pasukan petugas khas itu mengambil pelbagai pendekatan, seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan.
Beliau berkata, siri perbincangan dan lawatan kerja di dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi asing serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti turut diadakan.