
Calon itu berkata, mereka bingung kerana sebahagian peperiksaan itu berdasarkan kes dihafal. Tetapi, ahli panel taklimat itu memberitahu mereka untuk mengelak berbuat demikian, jika mahu lulus.
Seorang calon yang akan menduduki peperiksaan itu buat kali ketiga berkata, mereka diberitahu untuk menjawab soalan mengikut cara mereka akan berhujah di dalam mahkamah atau cara mereka akan menasihati anak guam.
“Jika peperiksaan itu sendiri berdasarkan penghafalan, bagaimana kami boleh menjawab sebaliknya seperti menasihati anak guam? Apabila bekerja sebagai peguam, kami mempunyai masa berminggu-minggu untuk meneliti dan menyediakan hujah serta pemikiran kami.”
Katanya, ramai pelajar undang-undang mahu melihat rombakan keseluruhan struktur peperiksaan CLP, yang dirasakan mereka sudah lapuk akibat keperluan untuk banyak menghafal dan begitu banyak asas yang perlu diliputi.
Peperiksaan CLP tahun ini akan diadakan dalam tempoh 10 hari mulai esok. Peperiksaan itu mendapat perhatian susulan kadar kelulusan rendah dengan hanya 20-25% daripada lebih 2,000 calon yang lulus.
Seorang lagi calon yang mencuba nasib buat kali kedua berkata, ahli panel asyik menekankan tiada kuota ditetapkan untuk jumlah calon berjaya, seperti yang dispekulasikan.
“Mereka meminta kami tidak mempedulikan dakwaan sedemikian dan membuat persediaan secukupnya. Ia mungkin tidak meyakinkan, tetapi kami perlu mempercayai mereka kerana mereka adalah pemeriksa kertas jawapan.”
Katanya, taklimat selama dua jam yang diadakan seminggu sebelum peperiksaan itu, sepatutnya diadakan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengubah persediaan mereka berdasarkan apa yang diberitahu dalam taklimat.
Seorang lagi calon berkata, beliau keliru apabila tiga ahli panel memberikan pandangan berbeza berhubung cara pemarkahan.
Dalam maklum balas e-mel kepada FMT, pejabat pengarah CLP berkata, tujuan taklimat itu diadakan untuk membantu calon menjawab soalan dengan lebih tepat dan memfokuskan apa yang mereka perlu jawab.
“Objektif utama ialah mendedahkan calon kepada kesilapan yang kerap dilakukan dahulu untuk membantu mereka menghadapi peperiksaan seterusnya.”
Ditanya jika Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang mempunyai rancangan untuk merombak format peperiksaan CLP disebabkan banyak aduan, katanya, lembaga itu sentiasa mengambil langkah perlu untuk meningkatkan standard dan kualiti peperiksaan CLP serta profesion undang-undang secara keseluruhan.