
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, dalam surat bertarikh 30 Sept berkata majlis perjumpaan itu akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bermula 2 petang.
“Adalah dimaklumkan bahawa satu perjumpaan khas bersama presiden Umno dan perdana menteri akan diadakan pada 4 Okt (Selasa), bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, aras 2 WTC,” kata surat itu.
Hari ini, memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden Umno Mahdzir Khaled berkata Ismail sudah menyatakan persetujuan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, dalam pertemuan “top 5” parti itu semalam.
“Menerusi pertemuan semalam, kita berbincang mengenai perkara berkaitan PRU. Macam-macam isu dibangkitkan dari segi calonnya, duit, jentera dan macam-macamlah.
“Secara asasnya, perdana menteri juga sudah bersetuju PRU15 diadakan tahun ini. Cukuplah setakat ini saja komen saya,” katanya.
Semalam, Ahmad berkata, Umno mencapai konsensus supaya pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.
Ahmad berkata, Ismail akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.