Penyumbang jangan beli barang keperluan di kawasan banjir

Penyumbang jangan beli barang keperluan di kawasan banjir

Ia bagi mengelakkan kekurangan bekalan di kawasan bencana sehingga menyukarkan mangsa banjir mendapatkan barangan keperluan mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid menasihatkan penyumbang bantuan membeli barang keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di luar kawasan bencana. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan kepada pihak yang ingin menyampaikan sumbangan barangan keperluan termasuk makanan kepada mangsa banjir supaya membelinya di luar kawasan bencana.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid, berkata ia bagi mengelakkan kekurangan bekalan di kawasan terlibat, sehingga menyukarkan mangsa banjir mendapatkan barangan keperluan mereka.

“Kita nasihatkan kepada penyumbang supaya jangan ambil (bekalan barangan keperluan) di kawasan terlibat, contohnya bila ada banjir di Ipoh, penyumbang jangan ambil (beli barang sumbangan) di Ipoh, dan gunalah produk tempatan seperti biskut dan sos cili,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Barangan Malaysia 2022 di Perkarangan Mydin Mall Meru Raya.

Rosol berkata, pihak kementerian turut menasihatkan supaya para peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan semasa banjir, dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang menyeleweng, mereka perlu melaporkannya supaya tindakan tegas dapat diambil.

“KPDNHEP telah pun memberi kebenaran pemborong dan peruncit terpilih daerah di seluruh negara menyimpan bekalan barang keperluan asas seperti minyak masak, tepung gandum, gula, beras lebih 30% daripada had simpanan lesen sebagai persediaan ketika bencana,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, dilaporkan berkata fasa peralihan monsun di negara ini dijangka bermula, pada 3 Okt hingga November.

Semasa fasa peralihan monsun itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh membawa kejadian ribut petir, lazimnya turut mengakibatkan hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.