
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ahmad Hamzah, berkata pengumuman mengenai perkara itu dijangka dibuat pada bulan ini.
“Kementerian telah pun berjaya menyelesaikan apa jua aduan dan rungutan orang ramai berkaitan isu kekurangan ayam dan telur yang dihadapi sebelum ini, dan pada masa kini bekalannya telah berlebihan.
“Perkara ini telah diteliti di peringkat kementerian setelah menerima permohonan daripada penternak-penternak,” katanya kepada pemberita di Merlimau.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ketika ini tahap sara diri (SSL) untuk ayam ialah 104%, manakala SSL bagi telur adalah 115% dan melepasi permintaan dalam negara.
Katanya, sebelum ini kerajaan hanya membenarkan sebanyak 3.6 juta ekor ayam di eksport ke luar negara sebelum dihentikan pada 1 Jun lalu, bagaimanapun jumlah sebenar yang dibenarkan selepas ini akan diketahui dalam pengumuman yang dibuat.
“Jadi kita tunggu sahajalah kerajaan akan umumkan mengenai perkara ini sedikit masa lagi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan meneliti untuk menetapkan harga siling ayam dan mengkaji untuk membenarkan produk tersebut dieksport semula.