PH desak kerajaan kecam senator Filipina berkait tuntutan terhadap Sabah

PH desak kerajaan kecam senator Filipina berkait tuntutan terhadap Sabah

Kenyataan dikeluarkan Francis Tolentino itu amat berbahaya dan dilihat mencabar kedaulatan negara secara terbuka.

PH Sabah desak kerajaan kutuk tindakan Senator Filipina Francis Tolentino yang dilihat mencabar kedaulatan negara secara terbuka. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa kerajaan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Senator Filipina Francis Tolentino yang mengatakan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) harus merebut peluang untuk meneruskan tuntutan mereka terhadap Sabah.

Dalam satu kenyataan, PH Sabah berkata kenyataan dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat Filipina itu adalah amat berbahaya dan dilihat telah mencabar kedaulatan negara secara terbuka.

“Ini adalah satu ancaman terhadap kepada keselamatan Sabah dan rakyatnya.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kenyataan ini boleh mencetuskan kebencian dan kemarahan warga Filipina yang semakin meningkat terhadap kerajaan Malaysia dan Sabah kerana wujudnya dakwaan bahawa mereka yang berada di Sabah menerima layanan buruk dan dinafikan akses kepada kemudahan kesihatan dan faedah keselamatan sosial meskipun beranggapan bahawa Sabah adalah ‘milik’ Filipina,” kata kenyataan itu.

Kenyataan dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Sabah Christina Liew, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau, Ketua DAP Sabah Frankie Poon, Ketua PKR Sabah Sangkar Rasam, dan Ketua Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Mereka berkata, Tolentino telah membuat kenyataan itu berikutan keputusan timbang tara yang dituntut oleh waris Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

“Senator Tolentino turut menyatakan bahawa seramai 750,000 rakyat Filipina hidup tanpa faedah kesihatan, keselamatan sosial dan tanpa kewarganegaraan ada di Sabah.

“Kami yakin bahawa angka tersebut sebenarnya jauh lebih tinggi, walau bagaimanapun jumlah 750,000 adalah masih sangat tinggi dan perkara ini seharusnya diambil serius oleh kerajaan Malaysia,” kata mereka lagi.

Menurut mereka, sekiranya kenyataan tersebut adalah benar, apakah tindakan kerajaan persekutuan untuk menanganinya.

Mereka berkata, penduduk yang didakwa Tolentino itu jelas menggambarkan bahawa golongan terbabit adalah pendatang tanpa izin yang harus dihantar pulang.

Sehubungan itu, kata mereka kerajaan Filipina mesti bersedia dan sanggup untuk menerima mereka kembali.

“Tuntutan berterusan terhadap Sabah adalah gambaran kegagalan berterusan kerajaan Malaysia untuk benar-benar memahami dan menyelesaikan secara tuntas kepada masalah kehadiran empat kategori pendatang Filipina di rantau ini yang semakin meruncing.

“Empat kategori itu ialah pelarian, orang tanpa kerakyatan, pendatang tanpa izin dan mereka yang telah memperoleh kad pengenalan Malaysia secara haram,” kata mereka.

Kata kenyataan itu lagi, susulan keputusan timbang tara dibuat terhadap kerajaan Malaysia baru-baru ini telah memperlihatkan tindakan seorang Senator asing yang secara terbuka menuntut kerajaannya untuk meneruskan tuntutan mereka kepada Sabah.

“Berapa banyak lagi ancaman kepada Sabah dan rakyatnya harus dibuat supaya kerajaan persekutuan akan mengambil usaha yang serius untuk memutuskan penyelesaian yang komprehensif dan tegas terhadap masalah yang sekian lama dibiarkan berterusan ini?,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.