
Pengarah Urusan Datametrics Research and Information (DARE) Pankaj Kumar berkata, Malaysia mungkin belum bersedia apabila perdagangan haram menyumbang kepada lebih separuh daripada jualan rokok di negara ini dan kelaziman merokok berada pada kadar 21%.
Pankaj berkata, undang-undang itu mungkin memburukkan lagi masalah perdagangan haram yang mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM5 bilion.
Katanya, insidens merokok di Malaysia, pada kadar 21%, adalah kira-kira dua kali ganda kadar di Singapura dan New Zealand.
“Perdagangan haram rokok di Malaysia adalah pada 58.4%, manakala di New Zealand 11.5% dan Singapura 13.8%,” tambahnya.
Beliau meramalkan bahawa perdagangan haram akan mencecah hampir 62% jika rokok diharamkan bagi generasi penamat, meningkatkan nilai pasaran gelap keseluruhan daripada RM8.2 bilion kepada RM8.7 bilion.
RUU GEG – secara rasminya dikenali sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 – bertujuan mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada individu yang dilahirkan pada 2007 dan kemudian.
Pankaj berkata, langkah menerima guna pendekatan pengurangan bahaya tembakau ialah penyelesaian yang lebih baik, memetik pengalaman New Zealand dan Britain, di mana kelaziman merokok menurun selepas menghisap vape dipromosikan sebagai alternatif yang lebih sihat kepada merokok.
Menurut Tinjauan Kesihatan New Zealand 2021, peningkatan akses kepada produk vape dikaitkan dengan penurunan ketara dalam amalan merokok harian, daripada 11.9% pada 2020 kepada 9.4% pada 2021.
Presiden Advokasi Industri Vape Malaysia Rizani Zakaria berkata, rokok dan vape – dua produk yang berbeza – harus dikawal selia secara berbeza.
Katanya, menyamakan kedua-duanya akan memberi gambaran bahawa mereka menimbulkan risiko yang sama dan menjadikan pengguna tembakau bimbang untuk berhenti merokok.
Beliau mendakwa, ini juga mungkin menyebabkan segelintir bekas perokok yang telah beralih kepada produk vape kembali kepada tembakau.
Rizani juga berkata, RUU itu akan mengakibatkan industri vape tempatan gulung tikar, menjejaskan ramai usahawan.
Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya Keu Kok Meng berkata, beliau terutamanya bimbang mengenai penguatkuasaan dan hukuman keras yang diperuntukkan bawah RUU itu.
“Menakutkan” apabila RUU itu membenarkan menteri kesihatan melantik “mana-mana orang” untuk melakukan serbuan di kedai kopi yang disyaki tidak mematuhi undang-undang.
Bawah Fasal 13 RUU itu, mana-mana orang yang didapati bersalah menjual rokok atau produk vape kepada seseorang yang dilahirkan pada 2007 atau kemudian boleh didenda RM20,000 atau dipenjara setahun, atau kedua-duanya sekali.
“Kami bukan dalam urusan yang mana penalti tidak masuk akal sebegitu dikehendaki, terutamanya apabila kami hanya mendapat kira-kira RM1 keuntungan daripada penjualan setiap pek rokok,” katanya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU itu untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Julai.
Susulan bacaan kedua dan tentangan daripada Ahli Parlimen, peserta industri dan pihak lain, Dewan Rakyat mengundi untuk merujuk RUU itu kepada jawatankuasa pilihan khas (JKPK) Parlimen.
Khairy berkata, beliau bersetuju untuk merujuk RUU itu kepada JKPK bagi memastikan undang-undang yang komprehensif diluluskan.
PSC akan mengeluarkan laporan mengenai penambahbaikan yang disyorkan dalam tempoh sebulan atau tidak lewat daripada permulaan sidang Parlimen akan datang.