
Azhar, 48, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas tuduhan menerima suapan antara Julai 2017 dan April 2019 daripada Azizul Ab Majid ketika mereka mempunyai hubungan kerja rasmi.
Jika sabit kesalahan, Azhar berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mengikut tuduhan pertama, Azhar didakwa menerima RM60,000 daripada Azizul di pejabat Majlis Daerah Kuala Langat di Banting, Selangor, pada 14 Julai 2017.
Tuduhan kedua menyatakan dia menerima RM10,000 daripada Azizul di Taman Casa Mekar di Sungai Merab, Sepang, Selangor, pada 6 Sept 2017.
Dalam tuduhan ketiga, Azhar didakwa menerima RM20,000 daripada lelaki yang sama di Amverton Cove Golf & Island Resort di Jalan Pulau Carey, Kuala Langat pada 18 Dis 2017.
Menurut tuduhan keempat pula, dia dikatakan menerima RM10,000 lagi daripada Azizul di Taman Casa Mekar pada 30 April 2019.
Azhar mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Rozilah membenarkan Azhar diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 26 Okt.
Azhar diwakili Ariff Azami Hussein, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Yusriza Zulkifli.
Majlis Daerah Kuala Langat bertukar status kepada majlis perbandaran pada September 2020.