Bekas calon PKR Rantau, Streram masuk PBM?

Bekas calon PKR Rantau, Streram masuk PBM?

Dr S Streram masuk PBM bulan lepas bawah PBM Selangor, menurut sumber parti itu.

Dr S Streram adalah bekas timbalan ketua cabang PKR Rembau.
PETALING JAYA:
Bekas calon Pakatan Harapan (PH) pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, Negeri Sembilan, Dr S Streram menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) bulan lepas, menurut sumber PBM

“Beliau masuk PBM bulan lepas di bawah PBM Selangor,” sumber parti itu memberitahu FMT.

FMT telah berusaha menghubungi Streram beberapa kali, namun masih belum berhasil.

Streram adalah bekas timbalan ketua cabang PKR Rembau. Beliau menempah nama apabila bertanding atas tiket PH sebagai calon DUN Rantau, menentang menteri besar Negeri Sembilan ketika itu, Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional pada PRU 2018.

Streram dilarang masuk pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding. Namun, keputusan SPR itu dibatalkan mahkamah dan PRK Rantau diadakan pada 2019.

Bagaimanapun, Mohamad mengekalkan kerusi itu apabila memperoleh 10,397 undi berbanding 4,510 diraih Streram.

Desas-desus bekas pemimpin PKR itu cuba menghidupkan nasib politiknya menerusi PBM tercetus apabila tular gambar menunjukkan beliau hadir mesyuarat penyelarasan penubuhan PBM Negeri Sembilan di Seremban awal bulan ini.

Sumber PBM berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada Streram mahupun pemimpin lain PBM akan bertanding di Selangor pada PRU15. Beliau berkata, persoalan itu berkait sama ada PBM diterima masuk menjadi parti komponen Barisan Nasional.

“Kita belum official (secara rasmi) lagi masuk BN. Kalau dah diterima masuk BN baru kita berunding untuk kerusi baru. Buat masa sekarang kita buat kerja di kawasan yang sudah kami menang,” tambahnya.

PBM ketika ini menyandang empat kerusi Parlimen dan lima DUN. Awal bulan ini, Presiden Pengganti PBM Zuraida Kamaruddin mengumumkan tiga lagi Ahli Parlimen dan dua ADUN akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.