
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Khairi Jamaludin, berkata tertuduh mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan hakim Rasyihah Ghazali.
Katanya, hakim memerintahkan tertuduh dihukum penjara 15 bulan, jika gagal membayar denda itu atas kesalahan di bawah Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Katanya, pendakwaan itu menyusul operasi bersepadu oleh KPDNHEP bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), polis Selangor serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan di sebuah premis di Pulau Indah pada 25 Jan 2021.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati daging sejuk beku yang ditemui dalam serbuan itu diimport dari luar negara.
“Pengimport daging menggunakan penandaan logo halal dari luar negara dengan bahasa dan tulisan halal yang diragui.
“Berdasarkan siasatan awal dan semakan Jais, logo halal yang digunakan itu tidak diiktiraf dan penandaan halal yang digunakan pada kotak pembungkusan diragui,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sejumlah 1,672 barang kes yang bernilai lebih RM500,000 dilupuskan kerana merupakan barang mudah rosak.
Beliau memberi amaran KPDNHEP Selangor akan bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang, khususnya membabitkan perakuan dan penandaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.