Dakwaan fitnah, naib presiden PKR buat laporan polis terhadap 2 pemimpin MIC

Dakwaan fitnah, naib presiden PKR buat laporan polis terhadap 2 pemimpin MIC

K Saraswathy mendakwa Presiden MIC, SA Vigneswaran dan seorang lagi pemimpin MIC menghinanya dan menghasut ahli MIC yang lain untuk menyerangnya.

Naib Presiden PKR K Saraswathy (tengah) mendakwa MIC mahu menghalangnya daripada mempersoalkan dakwaan penyalahgunaan dana awam melalui entiti yang dikaitkan dengan parti itu.
KUALA LUMPUR:
Naib Presiden PKR, K Saraswathy membuat laporan polis terhadap Presiden MIC, SA Vigneswaran dan seorang lagi pemimpin parti itu kerana didakwa memfitnahnya.

Saraswathy berkata, dia membuat laporan itu selepas melihat satu video yang menunjukkan dua pemimpin berkenaan menghinanya dan menghasut ahli MIC yang lain untuk menyerangnya.

Peguam berusia 54 tahun itu mendakwa rakaman video dan audio itu kemudiannya menjadi tular.

Dalam laporannya, Saraswathy mendakwa serangan itu dilakukan secara sistematik untuk menghalangnya daripada mempersoalkan beberapa pemimpin MIC yang didakwa menyeleweng dana awam melalui beberapa entiti yang dikaitkan dengan parti itu.

Entiti yang dinyatakan dalam laporan itu adalah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Maika Holdings, Maju Institute of Educational Development, dan Yayasan Strategik Sosial.

“Motif mereka adalah untuk menjejaskan reputasi saya sebagai pemimpin wanita India dalam pembangkang,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Sementara itu, Vigneswaran yang dihubungi FMT hanya berkata, Naib Presiden PKR itu “hanya pandai membuat publisiti murahan”.

FMT tidak mendedahkan nama seorang lagi pemimpin MIC yang didakwa sementara menunggu ulasannya berhubung dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.