
Hazri Mokhtar, 43, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut semua pertuduhan, Hazri dituduh secara rasuah menerima wang untuk dirinya melalui pindahan dalam talian melibatkan dua akaun berlainan miliknya daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd.
Pindahan tersebut didakwa dilakukan melalui lima individu sebagai upah antara RM5,000 dan RM15,000 untuk tertuduh membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat tersebut bagi kerja-kerja perkhidmatan tertentu di Sabah dan Sarawak.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank Simpanan Nasional, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara 8 Julai 2020 dan 11 Okt 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat, mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.
Peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani yang mewakili Hazri, merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya kini bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, menyara tiga anak yang masih bersekolah serta memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan 2 Nov untuk sebutan semula kes.