Solat jenazah ghaib Yusuf al-Qaradawi malam ini

Solat jenazah ghaib Yusuf al-Qaradawi malam ini

Solat jenazah ghaib dijalankan serentak di Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya selepas Isyak.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi, ulama kelahiran Mesir yang berpangkalan di Qatar, meninggal dunia semalam. (Gambar International Union of Muslim)
PUTRAJAYA:
Solat jenazah ghaib ke atas ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qaradawi akan diadakan secara serentak di tiga masjid utama negara selepas solat Isyak malam ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff.

Solat jenazah ghaib itu akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Dalam kenyataan Hakimah berkata, Jakim turut menjemput semua majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan solat jenazah ghaib buat Almarhum.

“Semoga jenazah Almarhum diampunkan dan dirahmati oleh Allah SWT jua,” katanya.

Qaradawi, 97, meninggal dunia di Qatar pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik akaun Twitter rasminya semalam.

Jakim menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu semalam dan pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang amat besar buat dunia.

“Jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Qaradawi atas jasa dan sumbangan beliau sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 1431H bersamaan 2009M.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.