
Kejadian berlaku pada 3.45 petang menyebabkan Mohammad Ridzuan Marsudi, 31 dan Mohd Zulhusni Hassani, 30, parah di pergelangan tangan.
Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama lima anggota lagi membuat susulan berhubung kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, kes berkenaan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara mengamuk dengan melanggar Honda Accord milik abangnya iaitu seorang pesara guru berusia 53 tahun.
“Suspek yang juga penganggur turut bertindak menghempas pasu bunga pada kereta abangnya serta mengejar saudara kandungnya itu dengan sebilah parang.
“Polis tiba di lokasi dan suspek enggan memberikan kerjasama dengan mengunci rumah, namun Mohd Zulhusni dan pasukan berjaya memasuki rumah itu,” katanya menurut Harian Metro.
Jelas Iqbal lagi, suspek kemudian melibas parang ke arah Ridzuan menyebabkan mangsa terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahan diri.
“Hasil ujian kencing mendapati suspek positif dadah serta mempunyai rekod lampau bersabit Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Suspek direman tiga hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan,” katanya.