Kerajaan digesa guna 6.5% KDNK bagi peruntukan kesihatan

Kerajaan digesa guna 6.5% KDNK bagi peruntukan kesihatan

Berdasarkan data WHO, angka itu munasabah berdasarkan tahap pembangunan ekonomi Malaysia, kata Dr Lee Boon Chye.

Peruntukan kesihatan sebelum ini tidak mencukupi, kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa agar memperuntukkan dana belanjawan untuk sektor penjagaan kesihatan sebanyak kira-kira 6.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana peruntukan sebelum ini tidak mencukupi.

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, yang juga bekas timbalan menteri kesihatan berkata, sektor kerajaan dan swasta masing-masing patut diperuntukkan dengan 4% dan 2.5% daripada KDNK.

“Pada masa ini, kita kurang melabur dalam (sektor) kesihatan, dan kesannya dapat dilihat pada tahap kesihatan negara sejak beberapa tahun lalu dalam bentuk jangka hayat penduduk,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, peningkatan yang besar dalam peruntukan kesihatan juga diperlukan untuk menangani wabak Covid-19 yang masih belum selesai.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), angka 6.5% munasabah berdasarkan tahap pembangunan ekonomi Malaysia, katanya.

Beliau juga berkata, memperkasakan sektor awam dengan memperuntukkan lebih dana juga penting kerana ini akan memudahkan penyediaan perkhidmatan kesihatan pada kadar mampu milik.

Beliau turut menggesa agar kerajaan menyediakan peruntukan lebih besar untuk menangani kekurangan tenaga kerja di fasiliti kesihatan kerana pada masa ini, tiada hala tuju jelas daripada kerajaan untuk menambah sumber manusia.

“Menteri kesihatan dan menteri pendidikan tinggi mempunyai pandangan berlainan mengenai berapa ramai doktor yang negara perlukan.

“Jika mengikut saranan WHO, kita memerlukan 6,000 ke 7,000 doktor setahun tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dapat menyediakan jawatan doktor pelatih mencukupi untuk semua lepasan universiti ini.

“Oleh sebab itu satu usaha bersepadu perlu dilakukan untuk meneliti kekurangan tenaga kerja ini,” katanya,

Lee juga berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pendigitalan sistem penjagaan kesihatan kerana peruntukan setakat ini terlalu kecil untuk pengkomputeran seluruh negara.

Beliau turut menggesa agar sumber ditambah untuk merawat penyakit tidak berjangkit dan penyakit mental.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow berkata, KKM perlu berusaha menjadikan hospital awam lebih efisien dengan menetapkan sasaran bagi waktu menunggu pesakit. Ini bermakna, lebih ramai kakitangan diperlukan.

Katanya, Bajet 2023 perlu memfokuskan kepada kerjasama sektor awam dan swasta dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan, yang patut menjadi sebahagian daripada penggubalan dasar.

Bagaimanapun, kata Chow, ini tidak seharusnya membawa kepada penswastaan keterlaluan di sektor kerajaan mahupun nasionalisasi di sektor swasta.

Pada 16 Sept,, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, fasiliti kesihatan yang baharu diperlukan terutamanya di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, untuk jangkauan kesihatan yang lebih sama rata di seluruh negara.

Beliau juga berharap peruntukan untuk membina pusat kesihatan pakar di utara dan selatan Semenanjung kerana pesakit terpaksa datang ke Kuala Lumpur atau Selangor untuk mendapatkan rawatan pakar tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.