
Presidennya, Zulhelmi Mansor berkata kebajikan bagi penghantar p-panggilan, seperti mewujudkan pelan harga lantai, perlu dipertimbangkan kerajaan.
“Ini bagi memastikan tidak ada lagi isu kejatuhan kadar upah bayaran perkhidmatan penghantaran pesanan dan perkara-perkara lain, selain memastikan tidak berlakunya perhambaan moden,” katanya kepada FMT.
Pada 2008 istilah ekonomi gig mula mendapat perhatian dan popular dalam kalangan masyarakat akibat dunia mula dilanda kegawatan ekonomi.
Ekonomi gig adalah salah satu pilihan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas (freelance) yang disokong dengan menggunakan aplikasi teknologi. Perkembangan ekonomi gig selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 28 Okt depan kini diawalkan pada 7 Okt.
Dalam pada itu, Zulhelmi berkata antara cadangan lain yang diharapkan bagi pengguna p-panggilan adalah subsidi 80% skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri (SKSPS) dilanjutkan pada 2023.
Beliau juga meminta kerajaan memperkasakan lagi skim I-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada penghantar p-panggilan.
“Kita juga berharap ada insentif khas RM500 bagi tujuan penyelenggaraan motosikal kepada penghantar p-panggilan, selain kemudahan pinjaman perumahan dan kenderaan kerana ketika ini pendapatan golongan itu tidak diiktiraf oleh sektor perbankan swasta,” katanya.
Sementara itu, Zulhelmi juga berharap kerajaan memperkasakan lagi skim “Rent To Own” dan program rumah pertama kepada penghantar p-panggilan.
Katanya, dua skim itu dapat memberi faedah dan manfaat kepada mereka yang bekerja sendiri termasuk yang ingin memiliki rumah sendiri.
“Harapan kami agar pihak kerajaan, khususnya di bawah Kementerian Kewangan memberi sedikit perhatian kepada kebajikan penghantar p-panggilan yang selama ini merupakan antara penggerak ekonomi negara dalam sektor ekonomi gig, terutama ketika negara berhadapan pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya.