Banjir di lapangan terbang antarabangsa memalukan, kata Exco P Pinang

Banjir di lapangan terbang antarabangsa memalukan, kata Exco P Pinang

MAHB menjelaskan banjir kilat di lapangan terbang itu surut dalam masa 15 minit dan menyatakan tiada penerbangan dibatalkan, hanya ditunda kerana cuaca buruk.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin kejadian itu berlaku ketika Pulau Pinang berusaha menganjurkan banyak acara antarabangsa dan membawa penerbangan terus ke negeri berkenaan.(Gambar Facebook)
GEORGETOWN:
Kejadian banjir kilat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang disifatkan sebagai memalukan yang boleh menjejaskan imej negeri itu dan negara, kata exco kerajaan negeri.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin kejadian itu berlaku ketika Pulau Pinang berusaha menganjurkan banyak acara antarabangsa dan membawa penerbangan terus ke negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan supaya segera mencari penyelesaian jangka panjang.

Tular di media sosial sebuah video menunjukkan kereta dinaiki air ketika melalui pintu masuk lapangan terbang berkenaan.

Hujan lebat sejak jam 5 pagi itu turut menyebabkan beberapa kawasan di Bayan Lepas dilanda banjir kilat. Namun ia surut dengan cepat dan tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan.

Sementara itu, MAHB dalam kenyataan di Facebooknya menjelaskan banjir kilat di lapangan terbang itu surut dalam masa 15 minit dan menyatakan tiada penerbangan dibatalkan, hanya ditunda kerana cuaca buruk.

Menurutnya, meskipun tebatan banjir di lokasi seperti tangki penahan berfungsi dengan baik namun hujan berterusan menyebabkan paras air naik dengan cepat.

“Banjir telah surut pada pukul 10.15 pagi dan kerja pembersihan selesai dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Syarikat itu turut menafikan dakwaan berlaku gangguan bekalan elektrik dan menjelaskan hanya berskala kecil yang dipulihkan serta merta.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata tebatan banjir disediakannya tidak mampu menampung taburan hujan yang tinggi menyebabkannya melebihi kapasiti.

Jelasnya, Sungai Ara di Bayan Lepas di antara kawasan mencatatkan taburan tinggi dengan 72.5 mm selain Bagan Air Itam dengan 112.5 mm.

Zairil juga menjelaskan empat rumah pam baharu telah dibina di Bayan Baru serta Teluk Kumbar dan menyifatkan persoalan Gerakan berhubung peruntukan projek tebatan banjir sebagai tidak ikhlas.

Jelasnya, JPS juga diminta membuat siasatan untuk melihat penambahbaikan terhadap tebatan banjir sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.