
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 28 Sept ini bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara dasar bagi RUU tersebut.
“Kerajaan pada kali ini yakin dan kekal komited bahawa undang-undang sumbangan politik ini akan dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
“Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional telah menyediakan skop dan parameter dasar yang digariskan dalam RUU Sumbangan Politik dan dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum RUU ini dapat dimuktamadkan.”
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, RUU itu juga telah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ideas dan Bersih, serta ahli akademik.
Pada masa yang sama, tambahnya, beberapa sesi perbincangan dalaman juga telah dibuat bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memperincikan dasar penggubalan RUU ini.
Bulan lepas, Wan Junaidi berkata, draf rang undang-undang ini akan disegerakan supaya dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Oktober.