Penghantar makanan maut dirempuh SUV dalam kemalangan babit 5 kenderaan

Penghantar makanan maut dirempuh SUV dalam kemalangan babit 5 kenderaan

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dua motosikal yang rosak teruk akibat dirempuh SUV di persimpangan lampu isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat dekat Klang, petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penghantar makanan maut, manakala seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat dekat Klang, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku di dua lorong kanan untuk membelok ke Jalan Haji Sirat.

Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao berkata polis menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal kira-kira jam 2.30 petang.

“Sebuah kenderaan jenis Nissan X-trail yang memandu di lorong kiri hendak membelok ke kanan, tiba-tiba kenderaan jenis sama di lorong kanan hendak jalan terus dan berlaku perlanggaran.

“Kedua-dua kenderaan itu terbabas di mana Nissan X-trail yang berada di lorong kanan melanggar sebuah motosikal yang berada di arah bertentangan.

“Manakala Nissan X-trail yang berada di lorong kiri melanggar sebuah motosikal Grabfood dan kereta Proton Wira yang juga berada di arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan mendapati, persimpangan berkenaan mempunyai empat lorong di mana dua lorong jalan terus dan dua lorong untuk membelok ke kanan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal yang juga penghantar Grab Food, seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

‘Seorang lagi penunggang motosikal lelaki tempatan berumur 29 tahun mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

“Mayat penghantar makanan juga dibawa ke HTAR bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan saringan Covid-19 diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu SUV yang berumur 20 tahun dan 24 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.