Hakim baharu dengar saman 1MDB terhadap 2 bank, 6 pihak lain

Hakim baharu dengar saman 1MDB terhadap 2 bank, 6 pihak lain

Ia berikutan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar kes 1MDB.

1MDB memfailkan saman berjumlah USD1.83 bilion terhadap tujuh defendan kerana didakwa langgar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kes saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap tujuh pihak termasuk dua syarikat perbankan di luar negara akan didengar oleh hakim yang baharu.

Seorang peguam dari Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership ketika dihubungi pemberita mengesahkan, bahawa pada pengurusan kes hari ini secara dalam talian, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain memaklumkan beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

“Kes itu akan dipindahkan ke mahkamah lain dan tarikh pengurusan kes selanjutnya akan ditetapkan kelak,” katanya.

Difahamkan Roz Mawar sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan pengarah pendakwaan dan penguatkuasaan sivil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu antara agensi yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Pada 7 Mei tahun lalu, 1MDB selaku plaintif memfailkan saman bernilai USD1.83 bilion terhadap ketujuh-tujuh defendan, antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.

Dalam saman itu, 1MDB menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd; syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited, serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarek Obaid dan warga Britain Patrick Mahony.

Plaintif mendakwa, kesemua defendan antara lain berkonspirasi untuk menipu, membantu secara tidak jujur dan menyebabkan kerugian dan kerosakan terhadap 1MDB, serta menjejaskan reputasi dan nama baik syarikat berkenaan.

Semalam, Roz Mawar menarik diri daripada mendengar kes saman 1MDB terhadap bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar USD6.59 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.