Mahkamah benar Najib, anak tangguh penghakiman cukai RM1.7 bilion

Mahkamah benar Najib, anak tangguh penghakiman cukai RM1.7 bilion

LHDN memfailkan saman bagi menuntut tunggakan cukai RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu dan RM37.6 juta daripada anaknya.

Peguam kanan hasil LHDN berkata, pihaknya tidak membantah penangguhan penghakiman ringkasan mahkamah terhadap Najib Razak dan anaknya, Nazifuddin.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak dan anaknya, Nazifuddin menangguhkan penghakiman ringkasan mahkamah yang memerintahkan mereka membayar tunggakan cukai lebih RM1.7 bilion.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan penangguhan itu selepas Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus yang mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan mahkamah mereka tidak membantah permohonan itu.

Peguam Farhan Shafee yang mewakili dua beranak itu memberitahu mahkamah, LHDN dalam sesi pengurusan kes sebelum ini menyatakan persetujuannya untuk penangguhan sementara menunggu rayuan Najib dan Nazifuddin mencabar penghakiman ringkasan terhadap mereka selesai.

Hakim lain yang turut bersidang dengan Tengku Maimun adalah Mary Lim dan Rhodzariah Bujang.

LHDN memfailkan saman terhadap Najib pada 2020 untuk menuntut cukai lebih RM1.69 bilion dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin.

LHDN memperoleh penghakiman ringkasan mahkamah terhadap mereka pada 22 Julai 2020, keputusan yang disahkan Mahkamah Rayuan pada September 2021.

Penghakiman ringkasan diberikan apabila mahkamah memutuskan pada peringkat awal bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan plaintif dan perbicaraan penuh yang perlu memanggil saksi untuk memberi keterangan tidak wajar.

Berdasarkan penghakiman itu, notis kebangkrapan difailkan terhadap Najib tahun lalu, selepas gagal membayar RM1.69 bilion. Nazifuddin juga dikenakan notis kebankrapan pada Mei.

Awal tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan mereka dalam rayuan bagi mencabar tuntutan cukai RM1.7 bilion itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.